Suatu  ketika dahulu, seorang lelaki di Mekah telah meminang seorang wanita di  Madinah yang bernama Ummu Qais. Wanita itu enggan berkahwin dengan  lelaki tersebut kerana mereka tinggal berjauhan. Menurut sebuah  keterangan, wanita itu telah berkata, “Bagaimana engkau hendak berkahwin  denganku kerana engkau tinggal di Mekah dan aku tinggal di Madinah.  Sekiranya engkau mahu berkahwin dengan aku, marilah berpindah ke  Madinah.” Semasa peristiwa hijrah masih berlaku, lelaki itu berpindah  bersama-sama para sahabat ke Madinah, tetapi dengan niat yang berbeza.
Mengetahui  perihal tersebut, Rasulullah telah menegur secara terang-terangan niat  lelaki itu. Menurut Umar Al-Khattab, beliau telah mendengar Rasulullah  bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa  yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan  Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa  hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan  dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”
Walaupun  terdapat perbezaan perjalanan hijrah sahabat Rasulullah dengan  perjalanan mencari si dia, namun setiap perjalanan perlu dimulakan  dengan niat yang betul. Di dalam perihal berkahwin, niat seseorang  sepatutnya adalah mengharapkan keredhaan Allah. Bukan untuk “bercouple”  atau untuk mempunyai seorang teman istimewa. Bukan kerana ingin  bersuka-suka atau ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan juga  kerana putus cinta atau sedang dilanda kekecewaan. Bukan pula kerana  mendapat desakkan dan tekanan daripada sahabat handai dan kaum keluarga.
Allah  berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinkanlah orang-orang  bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang  soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” Ia merupakan satu  saranan kepada semua umat Islam supaya berkahwin, walaupun tidak  berkemampuan.
Pada  surah yang sama, di ayat 33 Allah kemudian menegaskan, “Dan orang-orang  yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga  kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah  kurniaNya”. Allah telah menyuruh hambaNya yang berniat untuk berkahwin  agar menjaga kehormatan sekiranya tidak berkemampuan dan bersabar  sehingga dikurniakan kekayaan daripadaNya.
Lazimnya  seseorang yang berniat untuk berumahtangga kerana Allah akan menerima  dengan hati terbuka siapa sahaja yang mendatang. Asalkan yang mendatang  itu menepati ciri-ciri yang disarankan oleh agama dan setelah beliau  telah melakukan istikharah dengan betul. Alam percintaan dan berkasih  sayang hanya wujud selepas ikatan sah terjalin.
Sebaliknya  jika niat perkahwinan adalah semata-mata memenuhi tuntutan duniawi,  sudah tentu pelbagai faktor seperti alam percintaan, rupa paras,  kerjaya, gaya, fesyen, wang ringgit, hobi waktu lapang, perasaan hati  dan sebagainya akan menjadi persoalan. Semua persoalan perlukan jawapan.  Semua jawapan perlukan penilaian. Semua penilaian mungkin akan memakan  masa yang panjang dan kadang-kala menimbulkan persoalan baru.

No comments:
Post a Comment