Tidak  perlu dihuraikan tentang kebersihan. Semua orang tahu maksud  “kebersihan”. Semua orang sukakan kebersihan, suasana yang bersih,  persekitaran yang bersih dan berkawan dengan orang yang bersih, kemas  dan wangi.
Adalah  sifat semula jadi manusia untuk tertarik kepada sesuatu yang cantik dan  bersih. Syurga juga diciptakan dan dipenuhkan dengan keindahan. Tidak  ada manusia yang ingin tinggal di dalam suasana yang kotor. TV3 dan NTV7  sebagai contohnya sering memaparkan aduan penduduk ini dan penduduk itu  yang kecewa dengan kebersihan persekitaran mereka.
Dari  sudut rohani pula, kebersihan akan memberi ransangan-ransangan positif  kepada minda dan diri. Rumahtangga yang bersih dan kemas akan menjadi  syurga tempat berehat. Persekitaran kerja yang kemas dan bersih akan  lebih produktif. Kertas jawapan peperiksaan yang ditulis dengan kemas  dan bersih akan lebih mudah dibaca oleh para pemeriksa.
Pada  awal usia, jutawan Amerika yang terkenal, Donald Trump yang memulakan  kerjayanya dalam bidang hartanah amat mementingkan kebersihan aset-aset  yang dimilikinya. Semua hartanah yang disewakan, dijaga dengan rapi dari  sudut kebersihan. Beliau berpendapat bahawa kebersihan boleh menjadi  satu stratergi perniagaan yang baik.
Al-Quran  lebih awal menceritakan tentang kepentingan kebersihan. Selepas wahyu  pertama yang membawa mesej tentang “ilmu”, Rasulullah s.a.w terus  kembali ke rumah dalam ketakutan. Beliau s.a.w lalu diselimuti oleh  isterinya dan tahukah anda bahawa sejurus selepas itu datang pula wahyu  kedua?
Antara  firman Allah s.w.t di dalam ayat 4 surah Al-Muddaththir, “dan  pakaianmu, hendaklah kamu bersihkan”. Ini merupakan salah satu dari 7  ayat yang diturunkan pada wahyu kedua. Sekali lagi, bukan wahyu ke-100  atau wahyu yang ke-1000, tetapi ke-2.
Semenjak  wahyu kedua lagi Allah s.w.t. telah pun memberi penekanan tentang  kebersihan. Anda bayangkanlah sendiri martabat kebersihan di sisi Allah  dan manfaatnya kepada manusia lain.
Dari  sudut As-sunnah Rasulullah s.a.w, terdapat bermacam-macam hadith yang  menceritakan tentang kebersihan termasuklah berwuduk, bersiwak,  bersikat, mandi, warna pakaian, memakai wangi-wangian, membersihkan  halaman dan sebagainya.
Seseorang  yang menjaga kebersihan akan sentiasa kelihatan cantik. Seseorang yang  menjaga kecantikkan tidak semestinya kelihatan bersih. Ini adalah kerana  kecantikkan adalah sesuatu yang subjektif, sedangkan kebersihan lebih  bersifat universal.
Hakikatnya  sekiranya kita pandai menjaga diri menjadi seorang yang bersih, kemas,  segar dan harum, InsyaAllah lebih ramai yang mendekatkan diri dengan  kita. Mungkin salah seorangnya adalah calon pasangan hidup yang dinanti  selama ini.

No comments:
Post a Comment