Tips  Cinta – Indahnya cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya cinta andai  setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai  bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka  hujan turun ditengah hari.
Puas  sudah membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan  memupuknya dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di  sanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau  sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri?
Datuk  Ustaz Ismail Kamus membincangkan: “Perempuan umpama cermin, mesti  cermat dan halus bila berhadapan dengan mereka.” Lebih-lebih yang  bergelar isteri. Sensitif, cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk  memang sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan isteri.
Seorang  suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu jika diperlukan,  bercakap lemah lembut dan rajin bergurau senda, ia sudah cukup dan  memadai.
Perhatikan  hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah menyediakan makan dan  minum di samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke  hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan,  insya-Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila.
Bagaimanapun  hal ini merujuk kepada wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan  sayang. Mengutamakan rumah tangga dan berusaha menceriakannya walaupun  si suami bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak. Apabila  ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang,  tak ada duit abang melayang lain pula penyudahnya.
Jika  yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan,  memang rumah tangga tidak bahagia dan aman. Kerana yang diburu adalah  wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan mata, si isteri akan  berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang, wanita begini  akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.
Beliau  menambah, “Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan  sayang, ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun wang itu  sekadar dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan  menyenangkan pasangan membina rumah tangga.
Mendapatkan  sebuah rumah untuk keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku  sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari. Jika  mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih dan sayang,  tandanya kita sudah tersilap menafsir.
Sepatutnya  utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau isteri,  justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba  kekurangan, tidaklah cepat melatah.
Cuba  perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada pasangan yang hidup  melarat dan menderita kerana tidak mempunyai wang yang banyak, namun  ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan kasih dan sayang,” jelasnya.
Beliau  tidak menafikan, wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar  tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada  orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai. Golongan begini,  malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan.
Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul.

No comments:
Post a Comment