Mencari Doorgift, Candy Station, Kek, Cupcake, muffin etc

Thursday, September 22, 2011

Penghargaan


Bayangkan anda sedang memandu dan kereta anda sedang beratur di dalam satu barisan untuk menanti giliran tol yang panjang. Tiba-tiba datang kereta dari sebelah kiri, menghimpit dan memotong barisan lalu mengambil tempat di depan anda. Apa perasaan anda ? Mengikut Rostam, salah seorang dari juruhebah Radio ERA, beliau cukup benci kalau orang potong “que”.
Perkara begitu sering berlaku dan mungkin menyebabkan kita berasa marah dengan gelagat pemandu yang kurang berhemah itu. Namun. si pamandu itu kadang-kala mempunyai sebab yang tersendiri untuk berbuat demikian. Mungkin beliau tersalah lorong atau beliau tidak arif dengan jalanraya di situ. Lalu beliau terpaksa bertindak menukar lorong dengan memotong barisan apabila menyedari dirinya tersalah.
Bukan setakat Rostam, semua orang akan timbul perasaan benci dan marah.
Berlainan sekiranya beliau memberi sedikit penghargaan kita seperti mengangkat tangan sebelum dan selepas memotong sambil menjerit “MINTA MAAF ! SAYA SESAT !” dan “TERIMA KASIH TUAN!”, selain memberi lampu isyarat. Kita mungkin tidak rasa begitu marah. Malah, marah mungkin bertukar menjadi sedikit kesedaran, agar pekara begitu tidak berlaku ke atas diri kita suatu hari nanti.
Penghargaan amat penting dalam meramaikan kenalan. Ucapan seperti terima kasih dan pujian dengan ikhlas akan membuat orang lain terasa diri dihargai. Orang lain akan merasakan diri mereka penting apabila berada di sisi kita. Lalu ramai yang akan sudi berdamping dengan kita.
Di pejabat, majikan yang menghargai para pekerja mereka akan menghasilkan suasana bekerja yang lebih baik. Di dalam rumahtangga, suami dan isteri yang menghargai sesama mereka biasanya akan hidup lebih aman. Di dalam sebuah komuniti, seorang yang menghargai jiran tetangga akan lebih dikenali dan disayangi.
Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 7, “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Apabila kita menghargai pemberian daripada Allah, Allah telah memberikan jaminan bahawa DIA akan menambah nikmat tersebut. Pemberian nikmat yang dimaksudkan merupakan rezeki, jodoh, kemudahan, kelapangan dan sebagainya. Lalu kita harus perbanyakkan bersyukur.
Setelah itu, kita di suruh berterima kasih sesama manusia sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak bersyukur dengan Allah sesiapa yang tidak berterima kasih sesama manusia.”
(Sunan Abu Daud #4177, Musnad Ahmad #7598, Sahih Ibnu Hibban #3476)
Selain berterima kasih, kita dianjurkan berdoa. Salah satu bentuk penghargaan yang tidak terdapat pada umat lain selain umat Islam ialah memberi penghargaan dengan berdoa. Rasulullah s.a.w memberi penghargaan kepada orang yang memberi beliau makan dengan berdoa. Miqdad r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w pernah berdoa, “Ya Allah, berilah makan orang yang telah memberiku makan, dan berilah minum orang yang telah memberiku minum.” (Sahih Muslim #3831)
Abu Hurairah r.a. pula menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w pernah dimarahi oleh seseorang kerana hutang. Beliau seterusnya membayar hutang tersebut dengan sesuatu yang lebih baik dan bersabda “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang.”  Ini juga adalah satu bentuk penghargaan, apabila orang yang diberi bantuan kewangan (dalam bentuk hutang) lalu memulangkan lebih dari apa yang dipinjam sebagai tanda terima kasih.
Untuk menambah kenalan, kita perlu belajar bersyukur dan menghargai orang di sekeliling kita. Berterima kasih kepada manusia dan mendoakan kebaikkan untuk orang lain. Kadang-kala mungkin kita perlu memuji kebaikkan mereka dengan tatacara memuji yang dianjurkan oleh nabi s.a.w. Kadang-kala kita memberi ucapan tahniah, selamat hari lahir, selamat melahirkan anak dan sebagainya.
Dengan ini, orang lain akan merasa diri mereka penting buat kita. Mereka yang pernah membantu kita, akan terus membantu. Mereka yang sayang akan terus sayang. Mereka yang memandang dari jauh, mungkin ingin berkenalan.

No comments:

Post a Comment