BEBERAPA  kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan  anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam  Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi  yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu  pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.
Anak  yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen  ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak  yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
Apabila  anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta  sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih  berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan  rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang  remaja dan orang dewasa yang seimbang.
Anak yang tidak berbapa.
Kajian  menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan  rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi  pembelajaran anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
- Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
 - Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
 - Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)
 
Enam rahsia menjadi ayah yang berkesan.
Ramai  lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah  cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan  juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai  ‘kebapaan’ ada enam rahsia menjadi ayah yang berkesan:
Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan  tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti  apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan  beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping  ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan  mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika  terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa  dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan  ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau  akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!
Kenali anak anda.
Ambil  masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda.  Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan,  kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama  kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu  mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh  memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap  pendirian) .
Apabila  anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta  boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap  pendirian serta konsisten.
Ada  enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan  terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan  diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap  tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai  atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh  dilihat dan diikuti.
Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan  suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang  positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling  penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak  boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku  krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak  menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
Mencintai ibu mereka.
Zahirkan  cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu  hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai  anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah  dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat  manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat  menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.
Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah  bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa  yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada  mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri  peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan  amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat  bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah  mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu  bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

No comments:
Post a Comment