Kebanyakan kita sudah tentu pernah menghadiri pelbagai seminar, kursus,  ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu hal yang menarik yang dapat  diperhatikan pada setiap program tersebut ialah apabila sesi itu  dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun penceramah yang  muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan memulakan  sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan  Surah Al-Asr.
Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa harus dimulakan dengan Ummul  Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan menyatakan yang Al-Fatihah  itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang baik itu (majlis  ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka, sekiranya  dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr?  Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan  kita terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu  menyampaikan ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.
Pernahkah anda terfikir untuk bertanya kepada penceramah tersebut,  mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh ditutupkan majlis  ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain?
Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya  manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal  soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta  berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3).
Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu :
1. Allah SWT bersumpah dengan masa
2. Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.
3. Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut :
2. Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa.
3. Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut :
i. Orang yang beriman
ii. Orang yang beramal soleh
iii. Orang yang berpesan-pesan
iv. Orang yang sabar
Dalam konteks ini, dapat kita perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang  tidak rugi yang disenaraikan di atas sebenarnya berada dalam satu tertib  yang mana dengan hanya mengikuti tertib tersebut dapat mengelakkan  sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya, penekanan rugi di  sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah semata-mata malah  mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi mereka yang  tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku bagi  mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.
Tertib golongan yang terkecuali daripada kerugian:
1. Orang yang beriman
Iman atau bahasa mudahnya bermaksud percaya. Seseorang itu dikatakan  beriman apabila dia mempercayai apa yang disampaikan kepadanya. Dalam  konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi seseorang melakukan  sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa memakan ubat  yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan penyakit.  Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh  percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh,  adalah sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh  seseorang yang gemuk orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih  dahulu. Maka sekiranya anda membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga  hati si penjual yang berbadan gemuk tadi, bukankah satu kerugian kepada  anda?
2. Orang yang beramal soleh
Amal atau melakukan sesuatu bermaksud anda melakukan sesuatu sama ada  atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu. Dalam hal ini, adalah satu  kerugian buat anda sekiranya anda percayakan kepada sesuatu yang  mendatangkan kebaikan tetapi anda tidak melaksanakannya. Sebagai contoh,  anda tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya  akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan anda kepada perkara fardhu  itu, anda tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara  lain yang anda pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang  keledar. Anda percaya bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa.  Tetapi, jika anda tidak menggunakannya walaupun anda percaya kesan  penggunaannya, maka anda akan menjadi orang yang rugi terutamanya  apabila kemalangan berlaku dan anda mendapat musibah kerana tidak  mengenakan tali pinggang keledar.
3. Orang yang berpesan-pesan
Berpesan-pesan di sini boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara  yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas. Ini bermaksud proses  komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini perlu  dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik  contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang  mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk  anda sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki  kereta anda untuk turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi  sekiranya hanya anda yang menggunakannya kerana andainya kemalangan  berlaku, hanya anda seorang yang terselamat. Begitu juga dengan aspek  ibadah, seandainya anda rajin ke masjid tetapi tidak mengajak orang lain  turut sama ke masjid, maka anda akan menjadi orang yang rugi kerana  anda juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang ke masjid dan  menyeru orang lain berbuat kebaikan.
4. Orang yang sabar
Dalam tertib ini, sabar berada di bahagian terakhir proses kerana hanya  selepas anda beriman, beramal dan menyebarkan sesuatu, barulah anda  bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini demikian kerana manusia  tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut pengorbanan masa,  wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta bersabar atas  usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario ini;  anda percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, anda mengamalkannya  dengan ke masjid dan anda menyebarkan dengan mengajak anak-anak anda ke  masjid. Anda telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun  anak anda menolak dan tidak mahu mengikut anda ke masjid. Anda menjadi  berang dan marah. Ini boleh mengakibatkan anak-anak menjadi takut,  kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan mereka semakin menjauhi anda  dan menyukarkan anda mendidik mereka. Bukankah ini satu kerugian?  Sebaliknya apabila anak-anak menolak, anda menasihati dengan lembut,  menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka  dan mampu mempengaruhi mereka.
Benar, ia mungkin tidak semudah yang disangka namun disinilah cantiknya  Islam yang menekankan konsep doa dan tawakkal setelah berusaha  bersungguh-sungguh dalam usaha kita mengajak manusia ke arah kebaikan.  Siapa tahu Allah SWT menggerakkan hati mereka setelah melihat ketulusan  dan keikhlasan hati anda.
Sesungguhnya merupakan satu kerugian bagi seseorang yang melakukan  sesuatu perkara sehingga selesai tanpa dia percaya bahawa apa yang  dikerjakan itu memberi manfaat kepadanya. Adalah sia-sia kepada mereka  yang percaya tentang kepentingan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya.  Juga rugi bagi seseorang andainya satu perkara yang baik, diyakininya,  diamalkan tetapi tidak disampaikan kepada orang lain. Begitu juga buat  mereka yang percaya, mengamalkannya, menyampaikan kepada orang lain  namun tidak pula bersabar dengan keputusan atau maklum balas daripada  orang tersebut.
Berbalik kepada pembacaan surah Al-Asr pada penghujung majlis ilmu, ia  memberi isyarat kepada anda bahawa adalah penting kepada anda untuk  mempercayai apa yang disampaikan, bertekad untuk mengamalkannya serta  menyampaikan ilmu itu kepada sesiapa yang tidak berada di majlis yang  sama. Kemudian anda perlu bersabar dengan respon yang bakal diterima  kerana tidak semua orang suka menerima apa yang disampaikan oleh anda.
Begitulah proses peningkatan kebolehan manusia boleh berlaku. Setiap  perkara yang dikerjakan harus mengikuti tertib di atas bagi membolehkan  mereka menguasai sesuatu kemahiran dan ilmu. Ini bermaksud, apabila  selesainya majlis ilmu tersebut, anda mula memikul satu tanggungjawab.  Bukan lagi pulang dengan tidak perlu memikirkan apa-apa.
Setiap individu mempunyai kapasiti untuk berubah dan melakukan  peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan adalah dalam bentuk  proses dan sememangnya sesuatu proses menuntut pengorbanan masa. Oleh  itu Allah SWT telah bersumpah dengan masa kerana masa terlalu penting  buat semua makhluk. Hanya mereka yang bijak mengurus dan mentadbir masa  serta memahami proses peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain  akan berjaya.
Oleh : Mohsen Amdan, Penulis Luar Jakim 
No comments:
Post a Comment