PERIBAHASA Melayu mengatakan bahawa ‘masa itu emas’. Manusia yang  mengetahui pentingnya masa, dapat menghargai dan menilai kebenaran ini.  Ulama amat arif dalam hal ini sehingga mengatakan bahawa masa adalah  modal hidup seorang manusia.
Antara perkara yang dikenal pasti membuang masa ialah pertama bercakap  mengenai perkara yang tidak berfaedah. Mereka yang suka berbual-bual  kosong, bergurau senda dan ditokok dengan percakapan kotor, umpat, hina  dan pelbagai lagi adalah dilarang agama.
Implikasinya ia menimbulkan akibat buruk yang boleh merosakkan hubungan silaturahim dan memecah belahkan perpaduan ummah.
Rasulullah SAW bersabda: "Di antara kebaikan seorang muslim ialah  meninggalkan perkara yang tiada sangkut-paut dengan dirinya." (Hadis  riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah).
Kedua, berhibur dengan keterlaluan. Kemudahan hari ini terlalu banyak  terutamanya di media cetak, elektronik dan alat komunikasi. Manusia  boleh mengambil faedah sebanyak mungkin daripadanya atau sebaliknya.
Hiburan diperlukan oleh individu tetapi bukanlah secara  berlebih-lebihan dan melampau seperti melompat-lompat tidak tentu hala  sehingga hilang rasa malu. Hiburan seperti lupa kepada tanggungjawab  sebagai seorang Muslim sehingga meninggalkan solat, bergaul bebas adalah  sama sekali tidak dibenarkan. Hiburan termasuk menonton televisyen,  mengunjungi tempat hiburan dan sebagainya.
Ketiga, terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah seperti lepak,  berlumba motor yang membahayakan, beli belah tanpa mengira keperluan dan  sebagainya yang mengakibatkan masa tidak diuruskan dengan sebaik  mungkin.
Masa yang terluang hendaklah dimanfaatkan oleh manusia sebaik mungkin.  Mereka perlu memikirkan bahawa masa yang sangat berharga itu sepatutnya  digunakan untuk perkara yang berfaedah, sama ada untuk diri, keluarga,  masyarakat dan agama.
Sebagai individu Muslim hendaklah sentiasa menilai diri (muhasabah) ke  manakah masa yang ada digunakan dalam seharian. Antaranya dengan belajar  ilmu agama agar dapat menyempurnakan segala ibadat dengan sempurna  seperti menunaikan solatlima kali sehari dan solat sunat, membaca  al-Quran, menghayati maknanya dan mengamalkan suruhannya. Banyak aspek  dan perkara dalam ajaran Islam yang perlu difahami dan dipelajari dengan  baik. Begitu juga dengan hukum yang perlu diketahui untuk dijadikan  panduan dalam kehidupan.
Mengisi masa lapang dengan membaca dan menambah kemahiran semasa.  Jangan sekadar mengunjungi perpustakaan ketika di bangku sekolah atau  sedang menuntut di universiti.
Membaca memberi banyak manfaat dan ilmu dan mereka yang suka membaca akan mengisi minda dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Selain itu, kita juga boleh memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT.  Masa yang terluang boleh diisi dengan hobi atau perkara yang  meningkatkan keimanan, ketakwaan, persaudaraan, taraf hidup, menuntut  ilmu dan sebagainya.
Allah SWT menggambarkan kepentingan masa seperti dalam surah al-Asr yang bermaksud:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang  beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran  serta bersabar".
Matlamat untuk membangunkan modal insan tidak akan dapat dicapai  sekiranya banyak masa diluangkan kepada perkara yang tidak berfaedah.  Oleh itu setiap individu muslim hendaklah sentiasa berusaha dan  memikirkan agar menjadi lebih baik dalam pengisian masa mereka.
Mengambil iktibar daripada mereka pandai mengurus masa, kita juga  hendaklah memikirkan bagaimana cara yang paling baik untuk kita  memanfaatkan masa.
Golongan pelajar yang kini sedang bercuti panjang seharusnya bijak  membahagikan masa di antara melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan  kebaikan kepada keluarga, mencari ilmu pengetahuan dan berehat dengan  membaca, mendengar muzik atau menonton televisyen.
Adalah diharapkan baki cuti sekolah yang masih ada itu akan digunakan  sebaik mungkin bagi menelaah buku baru sebelum sesi persekolahan dibuka 3  Januari depan.
No comments:
Post a Comment