Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
”Ummah Gemilang” merupakan aset negara yang paling bernilai kerana  terciptanya sejarah kecemerlangan sesebuah tamadun bersumber dari  kegemilangan ummah dalam meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Sejarah  membuktikan kejayaan yang dimiliki oleh Ibn Sina dalam bidang perubatan,  Al-Khawarizmi dalam bidang matematik dan astronomi, Ibn Khaldun dalam  bidang falsafah dan ilmuwan lain yang telah menyumbangkan ilmu-ilmu  mereka sehingga lahirnya satu tamadun ilmu.
Penguasaan ilmu secara seimbang dan menyeluruh perlu diterapkan dalam  masyarakat hari ini supaya tidak berlaku ”kejahilan ilmu” yang  menyebabkan negara terpaksa meminjam tenaga dari luar. Usaha kerajaan  dalam RMK-9 untuk membangun modal insan melalui pendidikan, Inovasi dan  nilai merupakan satu langkah yang harus disokong oleh semua pihak kerana  ia memberi kesan yang sangat positif dalam pembangunan ummah.
Satu langkah yang tepat ialah berhijrah dari kepompong kemiskinan ilmu  ke arah penguasaan ilmu pengetahuan sebagaimana al-Quran memberi  motivasi kepada umatnya yang mafhumnya, ”Dan sekiranya segala pohon yang  ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan  dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan  habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa,  lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman:27)
Ilmu pengetahuan dapat diperoleh dari pelbagai sumber seperti  pembelajaran, penelitian, pengkajian dan lain-lain. Allah SWT berfirman  yang maksudnya, ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang  menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah  beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar manusia  melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak  diketahuinya”. (Surah al-Alaq: 1-5)
Perkataan Iqra’ adalah perkataan pertama dari wahyu pertama yang  diterima oleh Nabi Muhamad SAW. Iqra’ bukan hanya sekadar membaca sahaja  tetapi juga membawa pengertian lain antaranya menelaah, mendalami,  meneliti, meyampaikan, dan mengumpulkan. Wahyu pertama itu tidak  menjelaskan apa yang harus dibaca, kerana al-Quran menghendaki umatnya  membaca apa sahaja selama bacaan tersebut bismi rabbik dalam erti  bermanfaat untuk kemanusiaan. Justeru, Iqra’ dapat difahami sebagai  bacalah, telitilah, dalamilah, ketahuilah ciri-ciri sesuatu; bacalah  alam, tanda-tanda zaman, sejarah ataupun diri sendiri yang tertulis atau  tidak. Akhirnya perintah Iqra’ mencakup segala sesuatu yang dapat  dijangkau oleh akal.
Perintah membaca merupakan perintah yang paling berharga yang dapat  menghantar manusia ke arah insan berilmu pengetahuan dan tidak  keterlaluan untuk mengatakan bahawa perintah membaca ini merupakan  motivasi utama untuk berhijrah menjadi seorang yang berilmu.  Sesungguhnya ilmu itu ibarat cahaya dan kejahilan itu merupakan  kegelapan. Orang yang berilmu akan menerangi alam ini dengan pengetahuan  yang dimilikinya dan memberi banyak manfaatnya kepada orang lain. Oleh  itu dalam sebuah hadith ada menyebutkan bahawa, ”Apabila mati seseorang  anak adam itu, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu  sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu  mendoakan kepadanya '.( H. R. Muslim )
Peluang mendapatkan ilmu terbuka luas, kerajaan telah menyediakan  pelbagai kemudahan asas dan prasarana bagi masyarakat bermula dari pra-  sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi, anak-anak hendaklah  dibekalkan dengan pendidikan yang sempurna, kegagalan ibu bapa  mendapatkan pendidikan anak-anak secara sempurna merupakan satu  kesilapan yang besar kerana kegagalan anak-anak dalam pelajaran akan  menyebabkan mereka keciciran dalam pelajaran. Kesannya bukan sahaja  kepada individu terbabit, tetapi juga kepada masyarakat dan bangsa.
Kesukaran hidup merupakan cabaran utama yang perlu ditangani bersama,  kita mungkin hanya menguasai satu ilmu, tetapi ilmu yang lain kita tidak  menguasainya. Justeru kita hendaklah berusaha menjadi ummat yang  berilmu dengan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Menguasai satu-satu  ilmu tidak lah memadai untuk menjadi ummah yang gemilang.
Kedua-dua ilmu iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu Kifayah hendaklah  diketahui secara menyeluruh kerana ilmu-ilmu ini dapat memandu manusia  ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan dapat melahirkan umat yang  beriman, beramal soleh serta bertaqwa kepada Allah SWT.
Ajaran Islam menganjurkan umatnya mencari ilmu pengetahuan untuk  mencapai kebahagiaan hidup dan kesejahteraan dalam hidup. Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap  muslim. (Riwayat Ibn Majah) .Harus difahami, kewajipan ini tidak  terbatas pada usia remaja sahaja tetapi sehingga ke usia emas, kewajipan  ini tidak pernah berhenti walau sedetik.
Imam Syafi’i dapat dijadikan contoh, yang berlatarbelakangkan  kemiskinan tidak menghalang beliau untuk mencari ilmu pengetahuan. Pada  masa kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan banyak hadith.  Cintanya kepada ilmu pengetahuan membawanya mengembara yang akhirnya  menjadikan beliau ilmuwan unggul. Disebabkan keilmuannya dalam bidang  hadith dia digelar Nasir as-Sunnah, Dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dia  dikenal sebagai penyusun pertama kitab Usul Fiqh dan pendiri mazhab  Syafi’i.
Penerokaan umat Islam dalam berbagai-bagai disiplin ilmu telah membawa  kemajuan dalam pelbagai bidang. Kesan kemajuan serta kecermerlangan  tamadun ilmu dapat disaksikan hingga kini. Kecermerlangan mereka dalam  bidang keilmuan sehingga mampu mencorak disiplin ilmu tidak mungkin  datang secara kebetulan. Lantaran itu, untuk mencapai kecermerlangan dan  kemajuan, tidak salah menoleh pada sejarah lampau untuk dijadikan  iktibar. Dalam hai ini Allah SWT. Telah menyebutkan akan mengangkat  darjat orang-orang berilmu kepada beberapa darjat melalui firman-Nya  yang bermaksud:
...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu,  dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu)  beberapa darjat...
(Surah al-Mujaadalah:11)
Mulianya orang yang berilmu sehingga Allah akan mengangkat darjat  mereka. Kata pepatah “usaha tangga kejayaan”. Untuk itu, perlu satu  penghi
rahan untuk menjadi insan berilmu. Tanpa usaha, sesuatu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Orang lain tidak dapat mengubah diri kita, melainkan kita sendiri. Tanpa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bagaimana seseorang itu mampu mengharungi kehidupan didunia ini dengan cemerlang.
rahan untuk menjadi insan berilmu. Tanpa usaha, sesuatu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Orang lain tidak dapat mengubah diri kita, melainkan kita sendiri. Tanpa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bagaimana seseorang itu mampu mengharungi kehidupan didunia ini dengan cemerlang.
Oleh itu berusahalah dari sekarang mencari ilmu pengetahuan sebanyak  mungkin untuk menjadi ilmuwan yang mampu mencapai kebahagiaan hidup di  dunia dan di akhirat. Semoga ilmu yang diperoleh bukan hanya dapat  menyinari hidup sendiri, bahkan mampu menyinari generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment