SATU aspek sangat baik dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah  kehidupan berkeluarga memandangkan masyarakat hari ini yang berhadapan  dengan pelbagai cabaran seperti perceraian suami isteri, sumbang mahram  serta penderaan.
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa,  mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi  setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah  SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin  mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia  pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan  senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan  menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat  serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi  kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.
Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu  Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda (nabi)  yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang  biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu  Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh  isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah  sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan  tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah  mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya  berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik  melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa  perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan  supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap  suami yang pilih kasih.
Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari  isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah yang mewakili  mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri  Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum  mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan  Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan  memberikan jawapannya kemudian.
Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah  isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan  rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya  tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana  Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah  SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi  cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana  setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.
Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat  Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri,  kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat  sayang kepada Fatimah. Baginda menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau  tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan  mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia  tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan  sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah  orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya.  Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya  kepada sesiapa pun.
Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam  tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan  peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu  bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan  kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan  saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan  Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai  menantu Baginda.
Ali sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan  membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah  kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang  saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu,  namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah amat memahami  keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.
Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara  Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin,  anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali.
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya  itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus  mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya  bersama.
Baginda selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda sedang sujud dalam  solat, cucu Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda  sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.
oleh Marzulina Omar
Panel Penulis JAKIM
No comments:
Post a Comment