TAHUN baru 2007 mula menampakkan sinarnya bererti umur manusia  bertambah setahun lagi dan pastinya tahap kematangan fikiran semakin  meningkat. Tahun 2006 yang ditinggalkan tentunya meninggalkan  bermacam-macam nostalgia dan kenangan sama ada yang indah untuk  diteladani atau tidak baik sebagai sempadan.
Islam amat menganjurkan amalan bermuhasabah sebagai agenda penilaian  diri selepas setiap amal atau perbuatan selesai dilaksanakan. Sebagai  seorang manusia, setiap saat dilalui adalah kehidupan. Manfaat  diperolehi harus bersyukur dan segala mudarat mestilah  <?xml:namespace prefix = st1 ns =  "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />cuba dielakkan agar  tidak berulang kembali. Di sinilah letaknya peranan muhasabah diri yang  sepatutnya dijadikan bahan pengukur keupayaan dan pencapaian diri.
Dalam konteks pengurusan, bedah siasat dilakukan selepas selesainya  pelaksanaan sesuatu perancangan supaya sebarang kelemahan dapat dikenal  pasti dan kekurangan itu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku  berulang kali. Maka, dalam kehidupan manusia sebagai khalifah Allah di  atas muka bumi yang tersandang di bahunya pelbagai tanggungjawab perlu  lebih menilai pencapaian dirinya adakah semakin baik amalan dan  ketaatanya kepada Allah atau sama saja seperti hari berlalu.
Memasuki 2007, pastinya azam dan perancangan 2006 disemak semula adakah  terlaksana atau sebaliknya dan begitu juga apakah untuk tahun yang  mendatang ini masih mengekalkan azam sama atau inginkan sesuatu lebih  baik dan cemerlang. Justeru, di sini letaknya kepentingan muhasabah diri  kepada setiap individu Muslim.
Berdasarkan Kamus Dewan, muhasabah ialah perbuatan menilai dan meninjau  perasaan diri sendiri. Maka, individu yang bermuhasabah ialah individu  yang membuat penilaian terhadap diri sendiri. Manakala, Kamus  Pengetahuan Islam mendefinisikan muhasabah kepada beberapa pengertian  iaitu:
· Membuat perhitungan terhadap diri sendiri ketika berada di dunia  sebelum datangnya hari perhitungan di akhirat kelak. Setiap orang itu  perlu membuat perhitungan amalan baik yang dilakukan agar dapat ia  menambahkan kebaikan. Jika amalan buruk yang sudah terlanjur  dikerjakannya dapatlah ia menghentikannya.
· Membuat rencana perkara kebajikan yang hendak diamalkan pada masa depan sebagai bekalan di akhirat kelak.
· Mengadakan perhitungan amalan manusia di akhirat untuk menentukan siapakah yang patut menduduki syurga atau neraka.
Sebagai dalil rujukan, Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai  orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap  diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat)”.  (Surah al-Hasyr ayat 18).
Ayat itu menjelaskan seseorang hendaklah sentiasa memikirkan apa yang  sepatutnya dilakukan berdasarkan apa yang sudah dilaksanakan sebelumnya  kerana perancangan teliti hasil daripada muhasabah akan membuahkan hasil  yang lebih baik.
Rasulullah sendiri sering berpesan kepada sahabatnya dengan  mengingatkan mereka melalui sabdanya yang bermaksud ‘perbaharui iman  kamu’ supaya kualiti iman dapat dipertingkat dan tidaklah hanya berada  pada takuk sama tanpa ada sebarang anjakan.
Umar al-Khattab pula pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur  “hisablah (hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari  akhirat kelak”.
Ia menunjukkan individu Muslim yang mendambakan kebaikan dalam hidup  mestilah menghiasi dirinya dengan sentiasa menghitung diri mencari dan  mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dirinya bukannya hanya  menghitung segala kebaikan yang pernah dilakukan. Jika dihitung amalan  kebaikan semata-mata sudah pasti tiada keaiban diri yang disedari,  tetapi jika kecacatan diri sendiri yang diperhati, maka sudah pasti  seseorang itu akan berusaha menghilangkan keburukan itu agar diganti  dengan kecantikan diri.
Peribadi Umar al-Khattab sendiri sebagai Amir al-Mukminun haruslah  dijadikan idola dan contoh. Beliau selalu meminta orang ramai supaya  menyatakan kekurangan dirinya. Tujuannya ialah untuk diperbaiki  kesilapan yang beliau sendiri tidak menyedarinya. Lembaran sirah  mencatatkan Umar pernah ditegur wanita dalam persoalan mengehadkan  jumlah mahar. Malah, beliau pernah diacukan pedang oleh rakyat  pimpinannya untuk diperbaiki kesalahan yang mungkin dilakukan olehnya  ketika menjadi khalifah.
Lihatlah resmi setiap Khulafa al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan  Ali akan bangun berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin  masyarakat Islam. Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar  orang Islam membetulkan apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa  memimpin dan memberi sokongan selama mereka berada benar di atas  landasan al-Quran dan menolak mereka apabila mereka mengetepikan  pimpinan wahyu dan sunnah rasul.
Inilah konsep muhasabah yang dipegang oleh pemimpin Islam terkemuka  pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan Rasulullah. Maka, apabila  pemimpin tertinggi negara secara terbuka meminta orang ramai membuat  penilaian di atas kepemimpinannya, maka masyarakat umum adalah lebih  penting bermuhasabah sendiri di hadapan Allah adakah kita ini hamba yang  benar-benar taat mematuhi perintahnya dan menjalankan kewajipan sebagai  khalifah Allah yang diamanahkan sebagai pemakmur bumi ini?
Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim.  Orang yang sentiasa bermuhasabah akan sentiasa menginsafi kesalahan dan  kekurangan lantas akan melakukan perubahan ke arah kebaikan. Secara  tidak langsung apabila seseorang berasakan kelemahan dirinya, pasti dia  akan cuba merangka strategi memperbaiki diri supaya kekurangan itu tidak  selama-lamanya ada dalam dirinya. Ia hanya boleh dilakukan dengan  menjauhkan perasaan ego dan sombong dalam diri. Jika fikiran, perasaan  dan minda dikuasai perasaan bahawa dirinya baik tanpa kekurangan, maka  selama itulah tiada perubahan yang dapat dilakukan ke arah pembaikkan  diri yang lebih sempurna.
Muhasabah diri juga adalah satu jalan untuk menyelamatkan seseorang  daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan  hidup di akhirat. Dia akan sentiasa berasa kurang dan lemah diri di  hadapan Allah dan cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Bagaimanakah kaedah untuk mengetahui kekurangan dan kelemahan diri?  Mungkin dirasakan amat susah untuk mengenal pasti keaiban dirinya  sendiri berbanding aib orang lain kerana ramai manusia lebih mudah  melihat kepada orang lain daripada melihat kepada dirinya sendiri.
No comments:
Post a Comment