Mencari Doorgift, Candy Station, Kek, Cupcake, muffin etc

Sunday, August 28, 2011

Bagaimana memilih resepi yang baik untuk dicuba.

Seperti orang lain, saya juga sering membeli majalah-majalah yang memuatkan berbagai-bagai resepi. Resepi-resepi ini bukan sahaja untuk saya cuba, tetapi lebih kepada untuk dikaji seterusnya meningkatkan lagi ilmu didada. Walaubagaimanapun bukan semua resepi saya cuba. Kalau nak cuba semua resepi, melingkup la saya. Saya ada cara saya sendiri untuk menilai keupayaan resepi-resepi yang saya baca. Kaedah ini saya pun tak tahu bagaimana nak berkongsi dengan anda semua kerana ia banyak menggunakan pengalaman serta ilmu-ilmu dan bakat yang sedia ada. Kebiasaannya dengan hanya membaca resepi sahaja saya dah dapat mengagak bagaimana rasanya. Jadi disini saya hanya dapat kongsikan tip sahaja untuk anda memilih resepi mana yang boleh dicuba, boleh dipercayai dan berbaloi.

  1. Kenalpasti hidangan yang anda dan keluarga anda suka. Kalau satu rumah anda tidak menggemari petai, buat apa anda mencuba hidangan petai, ye tak?
  2. Perhatikan gambar hidangan tersebut dengan teliti. Resepi dengan gambar yang jujur akan menunjukkan sejelas-jelasnya hidangan yang terhasil. Banyak hidangan terutamanya kek yang tidak dipotong untuk menunjukkan tekstur kek yang sebenar. Kek seperti ini tidak dapat dipastikan dengan betul keupayaan sesuatu resepi.
  3. Hanya gunakan bahan-bahan yang kita kenal dengan pasti dan mudah didapati. Hidangan seperti masakan barat, sering menggunakan herba-herba yang kita sendiri tidak pernah dengar apalagi untuk memperolehinya. Kadang-kadang, nak menyebutnya pun susah.
  4. Anggarkan kos untuk sesuatu hidangan. Kebanyakan resepi yang terdapat dalam majalah dan internet tidak mementingkan kos sehinggakan mereka menggunakan bahan yang terlalu banyak dan pelbagai. Jika kita nilai, memang la hasilnya akan menjadi sedap jika resepi nasi goreng menggunakan berbagai rencah seperti udang, daging, sotong, ayam dan lain-lain sedangkan nasi hanya 1 cawan sahaja. Adakah berbaloi untuk kita cuba?
  5. Anggarkan juga kos bahan yang terpaksa kita tanggung secara tidak langsung. Bila kita membeli sesuatu bahan, biasanya kita terpaksa membeli lebih daripada apa yang akan kita gunakan dalam resepi. Contohnya kita memerlukan sejenis sos yang tidak pernah kita gunakan. Kita terpaksa membeli 1 botol sedangkan sos yang diperlukan hanya 1 sudu sahaja. Biasanya lebihan sos ini akan terbiar didalam peti ais sehinggalah tarikh luputnya sampai.
  6. Gunakan hanya bahan-bahan yang murah. Untuk ini anda perlu tahu fungsi sesuatu bahan itu. Contohnya, secubit safron yang mahal untuk digunakan dalam nasi beriani amat tidak berbaloi sedangkan jika kita tidak menggunakannyapun hasilnya masih tetap sama dan sukar mencari perbezaannya.
  7. Cubalah resepi yang menggunakan masa secukupnya yang kita ada. Banyak resepi yang terlalu membazirkan masa sedangkan masa yang kita ada amat terhad. Kita perlu memikirkan satu kaedah supaya masakan dapat disediakan dengan lebih cepat. Kita juga boleh membuat beberapa kerja dalam satu masa dan ini memerlukan pengurusan masa yang betul
  8. Bandingkan kos untuk membuat sesuatu hidangan dengan hidangan yang lebih kurang sama, yang sedia ada dijual dipasaran. Jika kosnya lebih kurang sama, lebih baik anda beli sahaja daripada berpenat lelah didapur.
  9. Akhir sekali, adalah lebih baik jika anda dapat mencuba sesuatu resepi yang boleh dipelbagaikan untuk kegunaan anda sendiri. Jangan terlalu terikat dengan resepi. Setelah mencuba sekali dan menjadi, cuba dengan kaedah lain pula atau gunakan bahan-bahan lain sebagai eksperimen. Kalau membuat kek keju menggunakan strawberi, cuba gunakan juga buah-buah lain seperti laici, durian, mangga. Kalau masak kuzi ayam dan anda rasa sedap, cuba juga kuzi kambing, daging dan lain-lain.
Apa yang penting, anda yang menentukan apa yang akan anda hidangkan kepada keluarga anda. Pastikan yang terbaik dan semestinya halal. Semoga anda memperolehi keberkatan dalam apa jua yang anda hidangkan.

No comments:

Post a Comment